Projek Kemudahan Sukan & Akses Penduduk Telan Perbelanjaan RTP RM200,000
LUNDU: Tiga projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar bernilai RM200,000 dilaksanakan bagi menaik taraf dua gelanggang sukan dan meningkatkan keselamatan laluan penduduk di tiga kampung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, menghadiri sesi penyerahan tapak bagi pelaksanaan ketiga-tiga projek di Kampung Stom Muda, Kampung Stungkor Lama dan Kampung Stungkor Baru, di sini, Jumaat.
Daripada jumlah itu, RM150,000 diperuntukkan untuk kerja baik pulih gelanggang futsal di Kampung Stom Muda dan gelanggang sepak takraw di Kampung Stungkor Lama, manakala baki RM50,000 digunakan untuk menaik taraf titian kayu di Kampung Stungkor Baru kepada struktur ‘twin box culvert’ berserta struktur sayap.
Projek baik pulih Gelanggang Futsal Kampung Stom Muda bernilai RM70,000 dilaksanakan oleh GG Damai Resources, merangkumi pembaikan lantai, kerja mengecat gelanggang dan tiang, penggantian dawai pagar serta pembinaan dua unit pintu.
Sementara itu, kerja baik pulih Gelanggang Sepak Takraw Kampung Stungkor Lama bernilai RM80,000 dilaksanakan oleh N.R Gemilang Enterprise, melibatkan pembinaan semula lantai gelanggang, penyusunan bata setinggi dua kaki, pemasangan pagar setinggi 3.6 meter dan kerja mengecat.
Kedua-dua projek itu bertujuan menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi yang lebih selesa serta selamat untuk kegunaan masyarakat, khususnya golongan belia.
Di Kampung Stungkor Baru pula, projek menaik taraf titian kayu di Lorong 15 dilaksanakan oleh Sebat Jaya dengan peruntukan RM50,000 bagi menyediakan laluan yang lebih kukuh dan selamat kepada penduduk.
Projek berkenaan dijangka meningkatkan kemudahan perhubungan harian penduduk setempat.
Kerja baik pulih gelanggang futsal Kampung Stom Muda dan naik taraf titian di Kampung Stungkor Baru dijadualkan bermula pada 23 Oktober 2026 dan siap pada 22 Januari 2027.
Sementara itu, projek gelanggang sepak takraw Kampung Stungkor Lama bermula pada 12 Oktober 2026 dan dijangka siap pada 11 Januari 2027.
Pelaksanaan ketiga-tiga projek itu mencerminkan usaha berterusan meningkatkan kemudahan asas dan prasarana komuniti di kawasan luar bandar menerusi RTP, selaras dengan keperluan penduduk setempat. -EDISI UKAS