Inovasi Anak Muda Perlu Penuhi Keperluan Industri Bintulu
BINTULU: Golongan muda digesa menghasilkan inovasi praktikal yang mampu memenuhi keperluan industri, meningkatkan produktiviti serta menyokong pembangunan ekonomi Bintulu.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, penggunaan teknologi moden dan tenaga kerja berkemahiran penting bagi memastikan pertumbuhan industri di kawasan itu terus mampan.
Menurut beliau, sektor minyak dan gas, pembuatan, operasi pelabuhan serta Taman Perindustrian Samalaju merupakan antara pemacu utama ekonomi Bintulu yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran dan penggunaan teknologi terkini.
“Golongan muda perlu melihat industri tempatan dan meneroka bagaimana kemahiran serta kreativiti mereka dapat menyumbang kepada masa depan Bintulu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penangguhan Borneo Innovation and Invention Competition 4.0 (BIIC 2026) di sebuah pusat beli belah, di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, kerjasama antara institusi pendidikan dengan industri perlu diperkukuh bagi membolehkan pelajar memahami keperluan sebenar industri, selain membuka peluang untuk mengenal pasti bakat tempatan.
Katanya, peserta dan rakan industri juga digesa menterjemahkan prototaip yang dihasilkan kepada inovasi praktikal yang boleh dimanfaatkan dalam operasi sebenar.
Datuk Majang yakin golongan muda mempunyai pengetahuan dan kreativiti untuk menyumbang kepada pembangunan industri, selain menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju berkata, penggunaan teknologi hijau penting bagi membantu industri menjimatkan tenaga, mengurangkan sisa dan melindungi alam sekitar.
BIIC 2026 menerima sebanyak 117 penyertaan dalam tiga kategori, iaitu junior, pelajar pengajian tinggi dan profesional, sepanjang tempoh 15 Jun hingga 8 Oktober 2026. -EDISI UKAS