SERIAN: Seramai 95 pasukan menyertai Serian Rafting Challenge 2026 Edisi Ke-13 yang berlangsung sejauh 25 kilometer dari Kampung Tema Mawang hingga Kampung Tebakang Bidayuh, hari ini.
Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem berkata, penganjuran acara berkenaan bertujuan mempromosikan Serian, khususnya sebagai produk dan destinasi pelancongan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelepasan peserta Serian Rafting Challenge Edisi Ke-13, 2026 serta pelepasan anak benih ikan sebagai usaha menyokong pemuliharaan sumber perikanan di Kampung Tema Mawang, pada Sabtu.
Menurut beliau, penyertaan 95 pasukan pada edisi kali ini mencerminkan sambutan terhadap acara tersebut yang terus menjadi platform memperkenalkan keunikan alam semula jadi, potensi pelancongan serta aktiviti sukan air di Serian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Serian (MDS) atas komitmen dan usaha menjayakan penganjuran acara sukan air berkenaan yang kini memasuki edisi ke-13.
Pertandingan tahun ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Agensi Kerajaan dan Campuran.
Juara bagi setiap kategori menerima hadiah RM1,500 berserta trofi, manakala naib juara menerima RM1,000 dan tempat ketiga RM700 berserta trofi. Peserta yang menduduki tempat keempat hingga kelapan pula menerima hadiah saguhati.
Penganjuran Serian Rafting Challenge turut diharap terus menjadi tarikan pelancongan sukan air di Serian, selain membuka peluang kepada komuniti setempat mempromosikan produk pelancongan kampung serta merancakkan aktiviti ekonomi tempatan melalui jualan gerai sepanjang program.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, Pengerusi Majlis Daerah Serian Dato Peter Minos, Setiausaha Majlis Daerah Serian Janice serta Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar. -EDISI UKAS