Kerajaan Sarawak Perkukuh Inisiatif Bantuan Demi Kesejahteraan Rakyat
MIRI: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh komitmen terhadap kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai inisiatif bantuan dan kemudahan yang memberi manfaat kepada wanita, kanak-kanak, warga emas serta golongan yang memerlukan sokongan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pembangunan negeri bukan sahaja diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi, malah sejauh mana manfaat pembangunan dapat dirasai oleh rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut beliau, program berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat menerusi pendekatan turun padang yang mengambil kira keperluan setempat, dengan kerjasama agensi di bawah kementerian serta rakan strategik.
“Slogan ‘Kamek Prihatin, Kitak Penting’ bukan sekadar tema program, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan untuk mendengar, memahami dan memenuhi keperluan rakyat melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih dekat dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Bersama Rakan Strategik: Kamek Prihatin, Kitak Penting bagi Zon Miri Tahun 2026, di sini pada Sabtu.
Tegasnya, usaha memastikan rakyat mengetahui inisiatif yang tersedia, memahami syarat kelayakan dan mendapatkan maklumat yang tepat merupakan tanggungjawab bersama kerajaan, agensi pelaksana, rakan strategik serta pemimpin masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya terus turun padang, mendengar permasalahan masyarakat dengan ikhlas dan menyalurkan isu kepada pihak berkaitan agar tindakan sewajarnya dapat diambil.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah turut menekankan kepentingan kestabilan, kepimpinan yang konsisten dan perpaduan masyarakat berbilang kaum serta agama bagi memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat diteruskan.
Ujarnya, prinsip ‘Utamakan Sarawak’ atau ‘Sarawak First’ dan usaha memelihara hak negeri berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan jangka panjang negeri.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus, Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang, Setiausaha Tetap KPWK Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Sharifah Zakiah Tuanku Pauzi. -EDISI UKAS