Program KPKP Dekatkan Perkhidmatan Kerajaan Kepada Rakyat
MIRI: Program Outreach ‘Kamek Prihatin, Kitak Penting’ (KPKP) Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) bersama rakan strategik bagi Zon Miri Tahun 2026 menjadi platform untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, selain memperluas akses terhadap maklumat, bantuan dan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosey Yunus berkata, program seumpama itu merupakan pendekatan Kerajaan Sarawak untuk mendengar suara masyarakat serta memastikan perkhidmatan kerajaan dapat diakses dengan lebih mudah oleh semua lapisan rakyat.
Menurut beliau, kerjasama antara jabatan dan agensi membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta pelbagai perkhidmatan secara langsung di satu lokasi, sekali gus memudahkan urusan harian mereka.
“Peserta digalakkan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan, mendapatkan maklumat daripada agensi berkaitan dan berkongsi pengetahuan yang diperoleh dengan ahli keluarga serta masyarakat setempat demi memperluas manfaat program,” katanya ketika berucap dalam program tersebut, di sini pada Sabtu.
Majlis perasmian program yang berlangsung di Kenyalang Convention Exhibition Centre 1, Kenyalang Smart City, Miri pada Sabtu itu disempurnakan oleh Menteri KPWK, Dato Sri Fatimah Abdullah dan dihadiri lebih 600 peserta.
Antara pengisian utama ialah penyampaian simbolik pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak, termasuk Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Endowment Fund Sarawak (EFS), Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Geran Tahunan Khas (GTK), program Low Income Family Empowerment (LIFE) serta Geran Intervensi Sosial Sarawak (GISS).
Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak menyampaikan bantuan menerusi beberapa skim, termasuk Bantuan Alat Tiruan dan Sokongan (BATS), Kad Orang Kurang Upaya (OKU), Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BPBP), Kenyalang Gold Card (KGC), Senior Citizens Health Benefit (SCHB) serta Bantuan Ihsan Kematian (BIK).
Selain penyampaian bantuan, program berkenaan turut menyediakan pameran, saringan kesihatan dan kaunter perkhidmatan agensi bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat secara langsung.
Dua sesi townhall turut diadakan dengan memberi tumpuan kepada inisiatif kerajaan untuk kesejahteraan komuniti serta isu sosial, kesihatan dan keselamatan komuniti.
Program itu turut menampilkan taklimat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Turut hadir, Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang, Setiausaha Tetap KPWK Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Sharifah Zakiah Tuanku Pauzi. -EDISI UKAS