Karnival Kesihatan Tudan 2026 Tingkat Kesedaran Pemeriksaan Awal
MIRI: Karnival Kesihatan Tudan 2026 menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan awal dan amalan gaya hidup sihat.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penganjuran karnival itu memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat kesihatan, menjalani pemeriksaan awal serta mengetahui langkah pencegahan penyakit.
Menurut beliau, penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung perlu diberikan perhatian kerana sesetengah masalah kesihatan tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal.
“Melalui pemeriksaan awal, kita dapat mengenal pasti masalah kesihatan dan mendapatkan nasihat serta rawatan yang bersesuaian sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya ketika berucap pada Karnival Kesihatan Tudan 2026 di Klinik Kesihatan Tudan, pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan penduduk mengunjungi reruai saringan kesihatan dan pameran yang disediakan, selain mendapatkan nasihat daripada petugas kesihatan.
Pada majlis itu, Dato Sri Lee turut menyampaikan geran peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Panel Penasihat Klinik Kesihatan Tudan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat. -EDISI UKAS