‘Battle Of The Bands’ Semarakkan Hari Terbuka Kompleks Kayangeran
LAWAS: Pertandingan ‘Battle of the Bands’ antara jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) menjadi antara tarikan utama sempena Hari Terbuka dan Majlis Perasmian Kompleks Kayangeran, di sini pada Jumaat.
Pertandingan yang berlangsung pada malam Jumaat itu menyaksikan penyertaan enam kumpulan muzik yang bersaing merebut Piala Pusingan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Pertandingan itu turut disaksikan Datuk Amar Awang Tengah serta barisan kepimpinan dan wakil jabatan dan agensi di bawah MUDeNR.
Kumpulan KOMPAS BAND dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak muncul juara, manakala GREEN THUNDER (FORESSA BAND) dari Jabatan Hutan Sarawak menduduki tempat kedua dan AIRSKY yang mewakili Sarawak Forestry Corporation (SFC) di tempat ketiga.
Tiga lagi kumpulan yang mengambil bahagian ialah THE ASPER dari Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), ECORHYTHM dari Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta SAPPHIRE 45 dari Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
Penganjuran pertandingan berkenaan memberi peluang kepada warga jabatan dan agensi mengetengahkan bakat muzik masing-masing dalam suasana santai dan menghiburkan.
Selain memeriahkan sambutan, aktiviti itu turut menggalakkan penglibatan warga jabatan dalam kegiatan kreatif serta memperkukuh kerjasama dan semangat kebersamaan di luar skop tugas rasmi. -EDISI UKAS