104 Warga Pendidik Sri Aman Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
SRI AMAN: Seramai 104 warga pendidik di Bahagian Sri Aman menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen, dedikasi dan kecemerlangan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab pendidikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, penganjuran APC bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform rasmi untuk mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangan warga pendidik dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab mereka.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman di Hotel Sri Simanggang, di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut turut menjadi pemangkin kepada warga pendidik untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan, di samping membudayakan kecemerlangan, kecintaan terhadap ilmu dan rasa bangga terhadap profesion perguruan.
Pada majlis sama, Datuk Mong turut meluluskan Peruntukan Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada PPD Sri Aman bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang tahun.
Turut hadir, Timbalan PPD Sri Aman Munau Bong Sang, Pengerusi Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Zon Sri Aman Limok Shem, Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Daerah Sri Aman Alfred Kendim serta barisan pengetua, guru besar dan warga pendidik. -EDISI UKAS