Satelit E-Commerce Buka Peluang Usahawan Sebangan Tembusi Pasaran Lebih Luas
SEBUYAU: Usahawan luar bandar di Sebangan berpeluang memperluas pasaran produk tempatan ke Semenanjung Malaysia dan peringkat antarabangsa menerusi kemudahan Satelit E-Commerce Hub yang menyediakan sokongan bagi pemasaran dan jualan digital.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kemudahan yang disediakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) itu dapat membantu usahawan memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan capaian pelanggan dan daya saing perniagaan.
Menurutnya, kemudahan itu turut memberi ruang kepada usahawan sedia ada serta individu yang baharu menceburi bidang perniagaan untuk mempelajari kemahiran digital, menghasilkan kandungan kreatif dan menjalankan jualan secara langsung menerusi platform media sosial.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Satelit E-Commerce Hub di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sampat, di sini pada Sabtu.
Dato Sri Julaihi berkata, produk tempatan seperti ikan terubuk Sebuyau dan Pau Sebuyau yang menawarkan tiga pilihan inti, iaitu kelapa, kacang merah dan mentega, mempunyai potensi untuk dipasarkan kepada pelanggan di luar kawasan menerusi platform e-dagang.
Bagaimanapun, katanya, usaha memperluas perniagaan melalui saluran digital memerlukan ekosistem sokongan yang berterusan dan tidak terhad kepada penyediaan latihan semata-mata.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kerjasama Koperasi Sebangan selaku pengendali RTC Sampat, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Pusat Komuniti Digital, institusi kewangan, platform e-dagang dan penyedia latihan bagi membimbing usahawan menguasai kemahiran berkenaan.
Beliau berkata, penjenamaan semula kemudahan itu juga mengambil kira perkembangan kawasan Sebangan serta peningkatan aliran trafik di Jalan Pesisir susulan pembukaan Jambatan Batang Lupar, yang membuka ruang untuk memperkukuh aktiviti ekonomi dan keusahawanan setempat.
Menurutnya, kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti penting bagi memastikan kemudahan itu dimanfaatkan secara berterusan untuk membantu usahawan meningkatkan daya saing produk serta membuka peluang menjana pendapatan.
Turut hadir, Pengerusi SDEC merangkap Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Energy, Datuk Amar Tan Sri (Dr) Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir Ts Sudarnoto Osman, Timbalan Residen Samarahan, Rais Ahmat serta Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang. -EDISI UKAS