RM1 Juta Peruntukan Dewan Serbaguna Perkukuh Kemudahan Peruntukan SK Siburan Batu
SIBURAN: Peruntukan RM1 juta yang diluluskan pada 2024 bagi pembinaan dewan serbaguna Sekolah Kebangsaan (SK) Siburan Batu menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Mambong menjadi antara usaha memperkukuh kemudahan sekolah dan menyokong pelaksanaan aktiviti pendidikan yang lebih kondusif.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, pembangunan infrastruktur perlu disertai usaha meningkatkan mutu pendidikan dan pencapaian akademik bagi melahirkan generasi berpengetahuan serta berkemahiran.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ceriathon 2.0 SK Siburan Batu anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, pada Sabtu.
Sementara itu, Guru Besar SK Siburan Batu, Christopher Maurice Budit berkata, dana yang dikumpulkan menerusi Ceriathon 2.0 akan dimanfaatkan untuk menyokong tiga aspek utama pembangunan murid, iaitu akademik, kokurikulum dan sahsiah.
Menurutnya, dana berkenaan turut membantu penyertaan murid dalam pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan, termasuk catur, sofbol dan ragbi, selain membiayai aktiviti kepimpinan serta keperluan infrastruktur sekolah.
Dalam pada itu, Yang Dipertua PIBG SK Siburan Batu, Nelson Sait berkata, penganjuran Ceriathon merupakan usaha bersama untuk menyokong pembangunan pendidikan, kebajikan murid dan penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Beliau berharap kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat dapat terus diperkukuh bagi memastikan murid mendapat kemudahan serta peluang pendidikan yang lebih baik.
Selepas merasmikan program itu, Datuk Dr Jerip turut melawat gerai jualan, termasuk Gerai Jualan Rahmah, serta meninjau kawasan dan kemudahan sekolah.
Turut hadir, Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari dan Timbalan Pegawai Sektor Pembangunan Bakat Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Serian Cela Chin. -EDISI UKAS