KUCHING: Seramai 60 keluarga daripada komuniti B40 menerima bantuan kewangan dan barangan keperluan menerusi Acara Sumbangan Amal Deepavali Tahunan 2026 anjuran Persatuan India Kuching (IAK) bagi membantu meringankan perbelanjaan isi rumah menjelang perayaan itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, program berkenaan mencerminkan keprihatinan masyarakat dalam memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian dan sokongan.
“Program ini bukan sekadar acara kebajikan atau pengagihan barangan keperluan dan bantuan kewangan, tetapi lebih penting sebagai tanda keprihatinan, solidariti dan tanggungjawab bersama untuk memastikan tiada anggota masyarakat berasa dilupakan atau terpinggir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kaunselor Tan Kai semasa acara berkenaan di Dewan IAK, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, usaha kebajikan seperti itu bukan sahaja memberikan bantuan segera kepada penerima, malah memperkukuh semangat perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
Beliau turut menggalakkan lebih banyak organisasi, sektor perniagaan dan orang ramai menyumbang masa serta sumber bagi menjayakan program kebajikan, sambil merakamkan penghargaan kepada semua penderma, penaja dan sukarelawan yang menjayakan inisiatif berkenaan.
Datuk Amar Dr Sim berkata, semangat Deepavali yang membawa mesej harapan, keamanan dan kebaikan wajar menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus saling membantu, menghormati perbezaan serta memastikan tiada golongan yang terpinggir. -EDISI UKAS