Tabung Pendidikan Batang Ai Salur RM500,000 Kepada 173 Pelajar
SRI AMAN: Seramai 173 pelajar di kawasan Batang Ai menerima manfaat Tabung Pendidikan Batang Ai berjumlah RM500,000 bagi membantu keperluan pendidikan mereka.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan membantu meningkatkan akses pendidikan dalam kalangan masyarakat di kawasan berkenaan.
“Tabung Pendidikan Batang Ai ini mula disalurkan pada 2017 dengan peruntukan RM200,000 dan kini peruntukannya telah meningkat kepada RM500,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Cakna Pemimpin Bersama Warga Pendidikan Peringkat DUN Batang Ai, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, pendidikan merupakan pelaburan penting untuk masa depan dan setiap inisiatif yang dilaksanakan diharap dapat memberi manfaat kepada penerima.
Beliau turut menekankan bahawa anak-anak yang membesar di kawasan luar bandar juga mampu mencapai kecemerlangan serta menyumbang pada peringkat lebih tinggi sekiranya diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya.
Pada program sama, beliau menyerahkan cek berjumlah RM140,000 kepada 14 sekolah rendah dan menengah di Daerah Lubok Antu, selain RM10,000 kepada Kelab Sukan dan Rekreasi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu serta RM10,000 kepada Persatuan Guru-Guru Besar Daerah Lubok Antu.
Turut diserahkan ialah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 berjumlah RM100,000 bagi projek membina baharu tangki air asrama lelaki dan perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Antu.
Turut hadir, Pegawai Daerah Lubok Antu Akoi Ejau, Ketua Polis Daerah Lubok Antu DSP Pricha Azin, Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu Vivien Mujah, Pengurus Stesen Hidroelektrik Sarawak Energy Berhad (SEB) Lubok Antu David Gundah, Pemanca Garang Juben dan Pemanca Chua Kee Long. -EDISI UKAS