Sarawak Catat 63 KRT Progresif, Tertinggi Di Malaysia
KUCHING: Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif di negara ini dengan 63 KRT sehingga September 2026, sekali gus mencerminkan penglibatan komuniti dalam memperkukuh perpaduan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, pencapaian itu meletakkan Sarawak di hadapan Selangor dan Terengganu yang masing-masing mencatatkan 62 KRT Progresif.
Menurutnya, pada tahun 2024, sebanyak 152 KRT telah berjaya dibangunkan sebagai KRT Progresif, diikuti 302 KRT pada tahun 2025 dan 125 KRT sehingga September 2026, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 579 KRT Progresif di seluruh negara.
“Tiga negeri yang mencatat jumlah tertinggi adalah Sarawak dengan 63 KRT Progresif, Selangor dan Terengganu masing-masing dengan 62 KRT Progresif.
“Tahniah, saya ucapkan kepada seluruh warga KRT di Sarawak atas pencapaian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Rukun Tetangga Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 di sebuah pusat konvensyen, di sini pada Sabtu.
Membanggakan lagi, beliau memberitahu Sarawak turut mencatatkan tiga teratas bagi jumlah penubuhan KRT di Malaysia sebanyak 1,101 KRT dengan Sabah dan Selangor di hadapan dengan masing-masing mencatakan 1,141 KRT dan 1,126 KRT.
Dalam pada itu, Dato Sri Aaron memberitahu, Kerajaan mengumumkan peningkatan Geran KRT Aktif daripada RM6,000 kepada RM10,000 setahun mulai 2027, iaitu kenaikan sebanyak 66.7 peratus selepas kadar geran itu kekal selama 13 tahun.
Jelasnya, peningkatan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkasa KRT dengan sumber yang lebih mencukupi bagi melaksanakan lebih banyak aktiviti berimpak tinggi demi memperkukuh perpaduan negara.
Ujarnya, peringkatan terbaru ini memperlihatkan pengiktirafan berterusan kerajaan terhadap KRT sebagai strategik kerajaan dan penggerak utama perpaduan di peringkat akar umbi. -EDISI UKAS