Kerjasama Guru, Ibu Bapa Perkukuh Asas Pendidikan Murid
BETONG: Kerjasama erat antara guru, ibu bapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu diperkukuh bagi memastikan murid mendapat bimbingan berterusan sejak peringkat prasekolah sebagai asas mencapai kecemerlangan akademik.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, asas pendidikan yang kukuh penting untuk meningkatkan peluang murid melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan terpilih, termasuk Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Menurutnya, penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga perlu diberi perhatian sejak awal persekolahan bagi mempersiapkan generasi muda menghadapi perkembangan teknologi serta merebut peluang dalam sektor ekonomi baharu, termasuk industri aeroangkasa.
“Saya menggalakkan guru untuk memanfaatkan kemudahan teknologi seperti papan pintar dan kecerdasan buatan (AI), termasuk ChatGPT, secara kreatif dan bertanggungjawab bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran serta menarik minat murid terhadap pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merarau Sekolah Kebangsaan (SK) St Bartholomew di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, kejayaan pendidikan bukan tanggungjawab pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif ibu bapa dan komuniti, dengan PIBG berperanan sebagai penghubung antara sekolah dengan keluarga.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa dan murid memanfaatkan peluang pendidikan tinggi percuma yang disediakan Kerajaan Sarawak di universiti milik negeri.
Menurutnya, perkembangan pesat teknologi dan kecerdasan buatan menuntut murid diberikan pendedahan sewajarnya sejak sekolah rendah supaya mereka bersedia menghadapi perubahan serta mampu menggunakan teknologi secara berkesan.
Beliau turut berkongsi perkembangan bantuan pendidikan, termasuk peningkatan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi 2027 kepada RM200 bagi setiap murid, berbanding RM150 sebelum ini, serta inisiatif bantuan elaun sara hidup kepada pelajar Tingkatan Enam yang layak sehingga RM2,500 setahun di bawah dasar baharu kerajaan.
Dalam majlis sama, Dato Dr Richard turut mengumumkan sumbangan RM5,000 kepada PIBG SK St Bartholomew bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program sekolah berkenaan.
Pada majlis itu, lima sekolah mubaligh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar menerima peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM781,000 bagi 2026 untuk melaksanakan projek pembangunan dan menaik taraf kemudahan sekolah.
Daripada jumlah itu, SK St Bartholomew menerima RM70,000 bagi pembinaan laluan berbumbung, tempat menyidai pakaian berbumbung di asrama serta menaik taraf tandas sekolah.
Empat lagi sekolah yang menerima manfaat ialah SK St Peter & St Paul, SK St Augustine, SK St Mark dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Augustine.
Cek bantuan berkenaan disampaikan oleh Datuk Gerald kepada wakil sekolah yang terlibat pada majlis tersebut.
Turut hadir, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh, Pengerusi Layar Education Development Committee (LEDC), Paul Langgang, Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong, Emparie Tom, Guru Besar SK St Bartholomew, Jerry Kani dan Yang Dipertua PIBG SK St Bartholomew, Kho Ah Chu. –EDISI UKAS