Sound of Borneo 2026 Wajar Jadi Acara Tahunan, Tarik Pelancong Antarabangsa
KUCHING: Keunikan gabungan alat muzik tradisional pelbagai etnik dengan sentuhan irama moden dan progresif menerusi Konsert Sound of Borneo 2026 membuktikan kekayaan warisan muzik Sarawak berpotensi diketengahkan sebagai tarikan pelancongan budaya bertaraf antarabangsa.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, persembahan yang ditampilkan bukan sahaja menghiburkan, malah berjaya memperlihatkan keindahan kepelbagaian budaya masyarakat Sarawak menerusi gabungan muzik tradisional dan kontemporari.
Menurut beliau, penggunaan alat muzik tradisional seperti sape, gambus dan gendang dalam susunan muzik moden berjaya menghasilkan irama fusion yang unik tanpa menghilangkan identiti serta keaslian melodi tradisional.
“Semua persembahan sangat menakjubkan dan menghiburkan. Setiap pemuzik berjaya menampilkan keunikan alat muzik tradisional pelbagai etnik melalui gubahan muzik, irama dan nyanyian yang moden serta progresif.
“Gabungan ini membuktikan muzik tradisional mampu terus berkembang mengikut peredaran zaman tanpa meminggirkan warisan budaya asal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas persembahan Konsert Sound of Borneo 2026 yang berlangsung di Pentas Kesenian Sarawak Regatta 2026, Kuching Waterfront, di sini pada Sabtu.
Datuk Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Seni Sarawak (MSS) atas usaha menganjurkan konsert berkenaan yang disifatkan sebagai platform penting dalam mengetengahkan bakat seni serta warisan muzik pelbagai etnik di Sarawak.
Beliau berpandangan, penganjuran konsert seumpama itu wajar dijadikan acara tahunan kerana berpotensi menarik kehadiran masyarakat pelbagai kaum, selain pelancong dari dalam dan luar negara.
“Acara seperti ini seharusnya dijadikan acara tahunan di Sarawak kerana keunikannya mampu menarik minat masyarakat pelbagai kaum serta pelancong antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa muzik mempunyai kekuatan tersendiri sebagai medium penyatuan masyarakat tanpa mengira latar belakang etnik, budaya mahupun bahasa.
Katanya, persembahan yang menggabungkan irama pelbagai etnik bukan sahaja memperkaya landskap seni persembahan tempatan, malah mampu memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak serta Borneo secara keseluruhannya.
Konsert Sound of Borneo 2026 menampilkan barisan artis dan pemuzik termasuk Jerry Kamit, Fauziah Gambus, Razali Kulingtangan, Suk Bini’e serta Orkestra Tradisional Negeri Sarawak (TONS), sekali gus menyerlahkan kepelbagaian khazanah muzik tradisional dalam persembahan bercorak kontemporari.-Edisi UKAS