RM80,000 Diluluskan Bina Parit Di Kampung Isu Lama, Gedong
GEDONG: Peruntukan RM80,000 bagi pembinaan parit di Kampung Isu Lama diluluskan dan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menambah baik infrastruktur kampung serta memenuhi keperluan penduduk setempat.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, berkata projek itu merupakan antara usaha meningkatkan kemudahan asas di kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Dewan Serbaguna dan Jamuan Makan Malam Amal Kampung Isu Lama di Dewan Kampung Isu Lama, di sini pada Sabtu.
Pada majlis sama, Rodiyah mengumumkan sumbangan RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menyokong keperluan serta aktiviti masyarakat setempat.
Beliau turut memaklumkan bahawa permohonan untuk menambah baik kemudahan Dewan Serbaguna Kampung Isu Lama boleh dikemukakan kepada pejabat pusat khidmatnya untuk dipertimbangkan berdasarkan keperluan dan ketersediaan peruntukan.
Selain pembangunan infrastruktur, beliau menggalakkan golongan muda memanfaatkan inisiatif pendidikan kerajaan, termasuk bantuan kewangan, biasiswa dan peluang melanjutkan pengajian di institusi milik Kerajaan Sarawak, tertakluk kepada syarat kelayakan.
Sementara itu, Penasihat PKS, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) merangkap Wakil Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong Dato Sri Mohd Naroden Majais, mengumumkan sumbangan RM5,000 melalui pusat khidmat ADUN Gedong bagi menyokong aktiviti dan penganjuran majlis amal berkenaan.
Beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf dewan menerusi peruntukan Kerajaan Sarawak dijangka siap pada November ini untuk membolehkan kemudahan itu digunakan bagi sambutan perayaan dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Selain itu, Serakup Indu Kampung Isu Lama dan Serakup Indu Kampung Munggu Air masing-masing menerima sumbangan RM3,500 bagi menyokong aktiviti serta penglibatan wanita dalam pembangunan komuniti.
Turut hadir, Pemanca Iban Zon Ulu Gedong, Sarika Muda, Penghulu Iban Zon Ulu Gedong, Francis Kunche, Penghulu Melayu Zon Ulu Gedong, Najib Arbi dan Tuai Rumah Kampung Isu Lama, Wan Paul. -EDISI UKAS