Rimbun International Sematan Run Pacu Pelancongan Pesisir Sarawak
SEMATAN: Penganjuran Rimbun International Sematan Run 2026 dilihat mampu menyokong pembangunan pelancongan sukan dan rekreasi di Sematan, Lundu dan Tanjung Datu, selaras dengan usaha kerajaan Sarawak memperluas potensi ekonomi kawasan pesisir.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kawasan berkenaan mempunyai kelebihan dari segi keindahan pantai, tarikan pulau dan ekosistem marin yang boleh dikembangkan sebagai produk pelancongan.
Menurut beliau, pembangunan kemudahan penginapan dan pusat persidangan mampu menarik lebih ramai pelancong serta merancakkan pelaburan dalam industri hospitaliti, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
"Memang kerajaan telah mengenalpasti Lundu dan Sematan ini sejak zaman Allahyarham Tan Sri Adenan Satem lagi sebagai pusat pelancongan.
"Dengan adanya Lebuhraya Pan Borneo dari Telok Melano sampai ke Kuching dan seterusnya ke utara, ia juga boleh mempertingkatkan pembangunan riadah yang berteraskan kepada pelancongan untuk kawasan Telok Melano, Sematan dan juga Lundu, seterusnya ke Tasik Biru, Bau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Rimbun International Sematan Run 2026 di Pantai Abang Amin, di sini, pada Ahad.
Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, pendidikan dan latihan dalam bidang 'hospitaliti' juga penting bagi melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran yang mampu memenuhi keperluan pelancong antarabangsa.
“Apabila lebih ramai tenaga kerja tempatan mempunyai kelayakan dalam bidang 'hospitaliti', kita dapat meningkatkan standard perkhidmatan, khususnya untuk memenuhi keperluan pelancong antarabangsa,” jelas beliau.
Terdahulu, Premier Sarawak telah melepaskan peserta larian 10 kilometer (KM) pada jam 6 pagi, selepas pelepasan kategori 21KM yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, pada jam 4 pagi.
Kategori 5KM pula dilepaskan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri, pada jam 6.30 pagi.
Sejurus menyempurnakan pelepasan larian, Premier Sarawak berpeluang berbasikal sejauh 10KM di sekitar Sematan sebelum menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori kebangsaan 21KM lelaki dan wanita serta hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kereta Proton e.MAS 5.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan cek replika oleh Pengarah Urusan Rimbun Prima Sdn. Bhd., Bouteflika Ahmad, kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Jabatan Dialisis Hospital Lundu, di hadapan Premier Sarawak.
Penyerahan cek tersebut bertujuan menyokong usaha pemuliharaan dan perlindungan penyu di Sarawak, selain membantu pesakit yang memerlukan rawatan dialisis secara berterusan.
Penyertaan kira-kira 2,000 peserta dari dalam dan luar negara, jelas memperlihatkan potensi acara berkenaan sebagai platform untuk menarik pengunjung serta mempromosikan Sematan sebagai destinasi pelancongan.-EDISI UKAS