Sukan Sekolah Bentuk Murid Berdisiplin, Berdaya Saing
LUNDU: Aktiviti sukan sekolah terus menjadi platform penting dalam membentuk disiplin, ketahanan mental dan semangat juang murid, selain menyokong pembangunan sahsiah serta potensi mereka secara menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, penglibatan aktif dalam sukan membantu murid membina keyakinan diri, kemahiran sosial dan sikap tidak mudah berputus asa ketika berdepan cabaran.
“Kegagalan sekali bukan bermakna kita akan terus gagal. Apa yang penting ialah semangat untuk bangkit, terus berusaha dan tidak mudah menyerah kalah dalam apa jua cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Senibong/Sejirin, di sini pada Sabtu.
Tambah Billy, pembangunan bakat murid perlu bergerak seiring dengan kecemerlangan akademik bagi melahirkan generasi yang memiliki nilai murni, keyakinan diri dan kemahiran kepimpinan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengumumkan peruntukan RM5,000 menerusi dana ABK kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Senibong/Sejirin bagi menyokong aktiviti sekolah.
Beliau turut menyatakan kesediaan menaja RM1,500 bagi penyertaan dalam Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL), selain mengingatkan ibu bapa supaya terus memberikan perhatian terhadap pendidikan anak-anak, termasuk persediaan menghadapi Ujian Penilaian Darjah Lima dan Enam (UPDLP).
Menyentuh mengenai keadaan padang sekolah yang dibangkitkan oleh Guru Besar SK Senibong/Sejirin, Idris Jeli, Billy memaklumkan bahawa keperluan menaik taraf kemudahan itu akan diteliti, tanpa sebarang komitmen khusus setakat ini.
Turut hadir, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Lundu, Kamisah Narudin, Yang Dipertua PIBG SK Senibong/Sejirin, Tedong Selutan serta Ketua Kaum Kampung Senibong, Jamnekel Jauhari dan Ketua Kaum Kampung Perian, Daniel Mamad. -EDISI UKAS