100 Penduduk Terlibat Dalam Gotong-Royong Bersihkan Laluan Ke Perkuburan Lama Kampung Stungkor
LUNDU: Seramai kira-kira 100 penduduk Kampung Stungkor Lama dan Kampung Stungkor Baru menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan laluan menuju ke kawasan perkuburan lama di Kampung Stungkor Lama, Sabtu.
Aktiviti anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Stungkor Lama itu melibatkan kerja-kerja menebas semak samun dan membersihkan laluan bagi memastikan kawasan berkenaan lebih teratur serta mudah dilalui.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, turut hadir bersama pemimpin masyarakat dan penduduk dalam aktiviti berkenaan.
Dalam pada itu, penduduk berhasrat mengemukakan permohonan kepada ADUN Opar bagi menaik taraf jalan menuju ke kawasan perkuburan lama tersebut bagi memudahkan akses dan urusan penduduk setempat.
Cadangan itu berkaitan keperluan memperbaiki keadaan laluan yang digunakan untuk ke kawasan perkuburan berkenaan.
Aktiviti gotong-royong itu turut melibatkan kerjasama penduduk kedua-dua kampung dalam membersihkan kawasan dan menjaga kemudahan yang digunakan bersama. -EDISI UKAS