68 Pelajar Bidayuh Terima Insentif Pendidikan RM10,200
LUNDU: Seramai 68 pelajar masyarakat Bidayuh di Daerah Lundu menerima insentif pendidikan berjumlah RM10,200 menerusi inisiatif Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Lundu dengan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang.
Daripada jumlah itu, seramai 32 pelajar peringkat diploma dan 36 pelajar peringkat ijazah masing-masing menerima RM150 sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian akademik mereka.
Majlis penyerahan insentif yang berlangsung di Dewan DBNA Lundu pada Sabtu itu turut menjadi usaha menggalakkan lebih ramai generasi muda masyarakat Bidayuh melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
Berucap pada majlis tersebut, Billy menegaskan bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf kehidupan, memperkukuh sosioekonomi keluarga serta membuka peluang masa depan yang lebih baik, khususnya kepada generasi muda di kawasan luar bandar.
Beliau turut menggalakkan pelajar menetapkan sasaran akademik dengan memperoleh Purata Nilai Gred (PNG) sekurang-kurangnya 3.00, selain mengekalkan disiplin dan ketekunan sepanjang pengajian.
Menurut beliau, pemilihan bidang pengajian yang bersesuaian dengan keperluan pasaran pekerjaan juga penting bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan selepas menamatkan pengajian.
Sementara itu, Pengerusi DBNA Cawangan Lundu, Suimi Kinseng berkata, pihak penganjur menerima lebih 100 permohonan bagi insentif berkenaan, dengan pemilihan penerima dibuat berdasarkan syarat yang ditetapkan.
Antara syarat tersebut ialah pemohon berketurunan Bidayuh, beralamat di Daerah Lundu serta mempunyai surat tawaran atau pengesahan penerimaan pengajian.
Beliau berkata, program itu merupakan antara usaha persatuan menghargai pencapaian akademik pelajar Bidayuh dan menggalakkan lebih ramai anak muda meneruskan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.
Dalam pada itu, Billy menyatakan kesediaan untuk terus menyokong inisiatif seumpama itu pada masa hadapan, selain memaklumkan bahawa pemberian insentif pendidikan secara sekali bayar kepada pelajar di kawasan Opar dirancang untuk dilaksanakan dalam masa terdekat. -EDISI UKAS