71 Peratus Wanita Berusia 40 Tahun Ke Atas Belum Pernah Jalani Mamogram
KUCHING: Sebanyak 71 peratus wanita berusia 40 tahun ke atas di Malaysia dilaporkan tidak pernah menjalani pemeriksaan mamogram, sekali gus menonjolkan keperluan mempergiat usaha meningkatkan kesedaran dan akses kepada saringan awal kanser payudara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, tahap saringan yang masih rendah menyukarkan usaha mengesan kanser payudara pada peringkat awal, sedangkan pengesanan awal penting bagi meningkatkan peluang pesakit mendapatkan rawatan sewajarnya.
“Tahap saringan yang masih rendah menyukarkan usaha pengesanan awal kanser payudara. Sebab itu, wanita perlu mengambil peluang menjalani pemeriksaan supaya penyakit dapat dikesan lebih awal.
“Jangan biarkan rasa takut atau malu menghalang kita daripada menjalani pemeriksaan yang boleh menyelamatkan nyawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Padang Merdeka, di sini pada Ahad.
Bagi memperluas akses kepada saringan, kerajaan memperuntukkan RM9 juta bagi 2027 untuk program subsidi ujian mamogram yang menyasarkan 38,000 wanita.
Dato Sri Nancy berkata, program berkenaan memberi peluang kepada lebih ramai wanita menjalani pemeriksaan, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan untuk mendapatkan saringan di fasiliti swasta.
Beliau turut menggesa wanita supaya tidak membiarkan rasa takut atau malu menghalang mereka daripada mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
Menurut Dato Sri Nancy, seramai 8,000 peserta dari Sarawak menyertai program saringan berkenaan pada tahun ini, manakala sasaran penyertaan bagi tahun depan ialah kira-kira 9,000 wanita di Sarawak daripada sasaran keseluruhan 38,000 wanita.
Dalam pada itu, kemudahan saringan turut disediakan melalui klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kuching, Sibu dan Miri, selain kerjasama dengan hospital serta pusat perubatan yang terlibat.
Sehubungan itu, wanita di Sarawak digesa memanfaatkan kemudahan yang tersedia dan menjalani pemeriksaan secara berkala bagi meningkatkan peluang pengesanan awal kanser payudara.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap Penaung Persatuan Kumpulan Sokongan Pink Ribbon Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ahli Majlis Wanita dan Keluarga Negara (MWKN), Dato Angelina Celestine Ujang, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dato Abdul Shukur Abdullah serta Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembangunan dan Landskap, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Maggie Tomeng.
Hadir sama ialah Presiden Persatuan Kumpulan Sokongan Pink Ribbon Sarawak, Suriani Rapaie, Pengerusi Persatuan Pickleball Kuching, Ruslan Tan Sri Datuk Amar Bujang, Naib Yang Dipertua Pertubuhan Harakah Islamiah (HIKMAH), Toh Puan Datin Patinggi Hayati Ahmad; serta Pengarah LPPKN Negeri Sarawak, Jimbau Munggat. -EDISI UKAS