Gelanggang Futsal Sedia Kemudahan Sukan, Sosial Komuniti
BETONG: Gelanggang futsal berbumbung baharu di Kampung Balingan, di sini menjadi pusat aktiviti sukan dan sosial yang dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, kemudahan itu bukan sahaja menyediakan ruang untuk aktiviti sukan, malah boleh dimanfaatkan bagi pelbagai program komuniti, sekali gus memaksimumkan penggunaannya untuk kepentingan penduduk.
Menurutnya, gelanggang berkonsepkan pelbagai guna itu boleh digunakan untuk permainan futsal, sepak takraw, bola baling dan bola jaring, selain menjadi lokasi penganjuran majlis perkahwinan serta aktiviti kemasyarakatan.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian gelanggang futsal berkenaan dan Majlis Penangguhan Sukan Sejerut Kanan 2026 Kampung Balingan di Padang Futsal Kampung Balingan, pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Mohammad Razi mengingatkan pihak pengurusan kampung supaya merancang pengurusan gelanggang secara teratur, khususnya berkaitan aspek keselamatan dan pendawaian elektrik, bagi memastikan kemudahan itu dapat digunakan serta diselenggara dengan baik untuk jangka panjang.
Beliau berharap masyarakat setempat dapat bersama-sama menjaga kemudahan yang disediakan kerajaan, di samping terus memupuk semangat kerjasama dan sikap saling membantu dalam komuniti.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Sekolah Kebangsaan (SK) Balingan telah disenaraikan dalam pembangunan sekolah daif berdasarkan maklumat yang diterima daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong, dan berharap pelan tindakan bersepadu bagi menangani isu berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, atas usaha membangkitkan isu pembangunan sekolah di kawasan Parlimen Betong, termasuk SK Balingan. -EDISI UKAS