RM1.146 Juta Dana MRP Disalur Kepada 82 Organisasi Di Satok
KUCHING: Sebanyak RM1.146 juta Dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada 82 persatuan dan organisasi di kawasan Satok bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta memenuhi keperluan komuniti setempat.
Penyerahan dana itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki pada Majlis Penyerahan Dana MRP di Pusat Khidmat DUN Satok, Jalan Kulas, di sini pada Sabtu.
Daripada 82 penerima, seramai 52 wakil persatuan dan organisasi hadir bagi menerima peruntukan masing-masing yang dapat dimanfaatkan untuk menyokong pengurusan organisasi, pelaksanaan program serta aktiviti kemasyarakatan.
Sektor pendidikan turut mendapat perhatian apabila Sekolah Rendah Merpati Jepang menerima peruntukan RM100,000, manakala Sekolah Chung Hua No. 4 menerima RM60,000 bagi membantu keperluan sekolah dan persediaan menganjurkan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dengan sekolah berkenaan menjadi tuan rumah.
Peruntukan itu diharap dapat membantu melancarkan penganjuran karnival berkenaan serta menggalakkan minat murid terhadap bidang STEM.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan pendidikan, Datuk Ibrahim turut menekankan kepentingan penguasaan kemahiran asas membaca dan menulis serta pendedahan kepada perkembangan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI).
Sehubungan itu, beliau menyatakan kesediaannya untuk menyokong pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke kolej dan universiti, selain membantu meringankan beban keluarga dalam menyediakan keperluan pendidikan anak-anak. -EDISI UKAS