RM5,000 Disalur Kepada PIBG SK Jangkar Sokong Penganjuran Sukan Sekolah
LUNDU: Sebanyak RM5,000 disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Jangkar bagi membantu membiayai penganjuran Kejohanan Olahraga SK Jangkar 2026.
Sumbangan bagi tahun 2026 itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, pada majlis penutupan Kejohanan Olahraga di SK Jangkar, pada Sabtu.
Kejohanan yang menghimpunkan kira-kira 150 orang itu melibatkan pelbagai acara, antaranya lompat tinggi, larian 100 meter, lari berganti-ganti 4x100 meter, lontar peluru dan dart, dengan penyertaan murid serta ibu bapa.
Penganjuran kejohanan berkenaan menjadi antara platform untuk murid mengembangkan bakat dalam bidang sukan, di samping memupuk disiplin, semangat kesukanan dan kerjasama dalam kalangan warga sekolah.
Billy turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, PIBG dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan tersebut. Beliau juga menggalakkan peserta supaya terus berusaha dan tidak mudah berputus asa ketika menghadapi cabaran.
Penglibatan ibu bapa dan komuniti setempat dalam kejohanan itu turut memberi ruang kepada pihak sekolah dan masyarakat untuk bekerjasama dalam menyokong aktiviti kokurikulum serta pembangunan murid. -EDISI UKAS