Bengkel Penyelarasan Perkukuh Persediaan Kluster Sarawak Hadapi Sukan SEA 2027
KUCHING: Persediaan Kluster Sarawak bagi penganjuran Sukan SEA 2027 terus diperkukuh menerusi Bengkel Penyelarasan Jawatankuasa Kerja yang melibatkan 21 jawatankuasa dan lebih 100 ahli bagi memastikan semua aspek penganjuran diselaraskan menjelang temasya itu pada September tahun depan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Penganjur Tempatan (LOC) Kluster Sarawak, Datu Hii Chang Kee berkata, bengkel selama tiga hari itu bertujuan meneliti semula perancangan awal, mengenal pasti ruang penambahbaikan dan memastikan setiap jawatankuasa bersedia melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Sepanjang tiga hari bengkel ini, kami berpuas hati dengan hasil yang dicapai. Setiap jawatankuasa kini lebih jelas tentang terma rujukan masing-masing, carta alir dan carta organisasi, selain matriks kebergantungan antara semua jawatankuasa.
“Dengan adanya penyelarasan ini, setiap jawatankuasa dapat memahami peranan masing-masing serta keperluan yang diminta oleh jawatankuasa lain, sekali gus membolehkan semua pihak bekerja sebagai satu pasukan yang erat menuju Sukan SEA pada September 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas bengkel berkenaan, di sini pada Ahad.
Menurutnya, bengkel berkenaan turut membantu memperkukuh sinergi dan koordinasi antara jawatankuasa supaya semua pihak dapat bergerak ke arah matlamat serta visi yang sama.
Menyentuh mengenai persediaan operasi, Datu Hii menjelaskan, setiap jawatankuasa telah memulakan perancangan berdasarkan skop masing-masing, termasuk keperluan pengangkutan, sajian makanan untuk atlet dan penginapan.
Menurutnya, setiap jawatankuasa turut menjalinkan hubungan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan berjalan lancar.
Ujarnya, satu lagi mesyuarat jawatankuasa kerja akan diadakan dalam masa terdekat, diikuti mesyuarat jawatankuasa induk yang akan dipengerusikan oleh Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, sebelum penghujung tahun ini. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery