Pelbagai Aktiviti Bakal Dijalankan Menjelang Sukan SEA 2027
KUCHING: Pelbagai aktiviti bakal dilaksanakan bagi meningkatkan momentum dan kesedaran masyarakat Sarawak menjelang penganjuran Sukan SEA 2027, termasuk acara kira detik serta cadangan penubuhan Pusat Operasi di Pusat Akuatik Pandalela.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Penganjur Tempatan (LOC) Kluster Sarawak, Datu Hii Chang Kee berkata, pelbagai inisiatif itu dirancang bagi memastikan persiapan menuju temasya sukan berkenaan berjalan lancar, selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan Sarawak sebagai tuan rumah.
“Kini, kita mempunyai baki 330 hari lagi menuju 18 September. Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sebagai persediaan menuju Sukan SEA 2027, termasuk kemungkinan penubuhan Pusat Operasi di Pusat Akuatik Pandalela serta penganjuran acara kira detik 300 hari pada November (tahun ini), 200 hari pada Mac dan 100 hari pada Jun tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Bengkel Penyelarasan Jawatankuasa Kerja Sukan SEA 2027, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Datu Hii berkata, penyelarasan rapat antara LOC Kluster Sarawak dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) turut menjadi keutamaan bagi memastikan semua aspek persiapan dapat dilaksanakan secara teratur.
Jelasnya, beberapa perkara masih memerlukan perbincangan lanjut bersama MASOC, khususnya berkaitan kadar elaun petugas dan sukarelawan, kadar penginapan, sajian makanan, pendaftaran sukarelawan, pemuktamadan acara sukan serta jumlah atlet yang akan mengambil bahagian.
Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada isu serius atau halangan besar yang menjejaskan persiapan Kluster Sarawak.
Tegasnya, hubungan rapat dan kerjasama berterusan antara LOC Kluster Sarawak dengan MASOC amat penting bagi memastikan setiap aspek persiapan dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery