Pink Ribbon Sarawak Perluas Kempen Kesedaran Kanser Payudara Ke Luar Bandar
KUCHING: Persatuan Kumpulan Sokongan Pink Ribbon Sarawak terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara menerusi program turun padang ke kawasan luar bandar bagi menggalakkan lebih ramai wanita menjalani pemeriksaan dan mendapatkan pengesanan awal.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), merangkap Penaung Persatuan Kumpulan Sokongan Pink Ribbon Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat dan pihak berkaitan perlu diperkukuh bagi memperluas capaian kempen kesedaran itu.
Menurut beliau, persatuan berkenaan sejak 2012 melaksanakan pelbagai aktiviti pendidikan kesihatan, termasuk mengunjungi kampung-kampung di sekitar Kuching, Bau, Serian, Kota Samarahan, Lundu, Sebuyau, Meludam, Betong, Saratok dan Sibu, selain sekolah-sekolah di Kuching.
“Lebih banyak program kesedaran perlu dibawa ke luar bandar supaya wanita di kawasan berkenaan mendapat maklumat dan akses kepada pemeriksaan awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Padang Merdeka, di sini, pada Ahad.
Katanya, usaha mendekati masyarakat secara langsung penting bagi meningkatkan pemahaman wanita mengenai kanser payudara serta kepentingan menjalani pemeriksaan bagi mengesan penyakit itu pada peringkat awal.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama strategik dengan agensi seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) serta pertubuhan masyarakat lain berpotensi memperluas jangkauan program kesedaran berkenaan.
Beliau turut menekankan kepentingan sokongan berterusan kepada wanita yang pernah menghidap kanser payudara menerusi pusat sokongan persatuan yang menyediakan ruang untuk mereka berkumpul, berkongsi pengalaman dan mengikuti aktiviti termasuk sesi kaunseling.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak pihak tampil bekerjasama dengan persatuan berkenaan bagi memastikan kesedaran mengenai kanser payudara dapat diperluas, sekali gus menggalakkan lebih ramai wanita mendapatkan pemeriksaan awal.-EDISI UKAS