LUNDU: Sebanyak RM9,000 disalurkan kepada tiga gereja bagi menyokong keperluan dan aktiviti keagamaan komuniti setempat menerusi Karnival Kesihatan Kampung Pasir Hilir 2026.
Sumbangan itu diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, dengan RM3,000 masing-masing diperuntukkan kepada Gereja Sacred Heart, Gereja Kalvary dan Chapel Afefany menerusi Karnival Kesihatan Kampung Pasir Hilir 2026, pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Projek Naik Taraf Sistem Paip Graviti Kampung Pasir Hilir telah dilaksanakan dan turut memberi manfaat kepada penduduk Kampung Kendaie serta Bukit Batu.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek jalan yang menghubungkan kawasan Kendaie dan Sedaing telah mendapat kelulusan bagi meningkatkan kemudahan perhubungan penduduk setempat.
Karnival anjuran Majlis Daerah Lundu itu menghimpunkan kira-kira 150 peserta menerusi pelbagai aktiviti, termasuk pemeriksaan dan saringan kesihatan, ceramah kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Lundu serta ceramah keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, Penolong Pegawai Perubatan Kanan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Donny Mihas, menekankan kepentingan program kesihatan komuniti dalam meningkatkan kesedaran penduduk terhadap pengesanan awal penyakit dan akses kepada perkhidmatan kesihatan. -EDISI UKAS