Seminar Undang-Undang Keluarga Islam Bantu Masyarakat Fahami Hak, Urusan Harta Pusaka
BELADIN: Kefahaman mengenai hak dan tanggungjawab dalam undang-undang keluarga Islam, termasuk urusan perceraian, pembahagian harta pusaka dan hukum faraid, terus diperkukuh menerusi penganjuran seminar oleh Mahkamah Syariah Sarawak di Beladin.
Ketua Hakim Syarie Sarawak, Datu Awang Suhaili Ledi, berkata sambutan menggalakkan terhadap program julung kali diadakan di Beladin itu mencerminkan keperluan masyarakat terhadap maklumat yang tepat berkaitan undang-undang Islam.
Menurutnya, seminar berkenaan memberi peluang kepada masyarakat memahami hak serta tanggungjawab mereka, di samping mendapatkan penjelasan mengenai prosedur dan saluran yang betul untuk menangani isu kekeluargaan serta pengurusan harta pusaka.
“Kerjasama antara pelbagai agensi, termasuk Majlis Islam Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei serta Pejabat Daerah amat penting bagi membantu masyarakat memahami peranan setiap agensi dalam menyelesaikan isu berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak, di sini pada Ahad.
Datu Awang Suhaili turut menggalakkan masyarakat yang berdepan masalah berkaitan undang-undang keluarga Islam dan pengurusan harta pusaka supaya mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa melalui saluran rasmi bagi memastikan tindakan yang diambil mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau berkata, sesi forum sepanjang program itu turut menyediakan ruang untuk masyarakat mengemukakan persoalan, mendapatkan penjelasan dan meningkatkan pemahaman mengenai pelaksanaan undang-undang keluarga Islam di Sarawak.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan melalui kerjasama pelbagai agensi bagi memperluas akses masyarakat kepada maklumat yang tepat serta membantu menangani isu berkaitan undang-undang Islam dengan lebih berkesan.
Turut hadir, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sarawak, Najaruddin Nedri, Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang dan Pemangku Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Norsilawati Jamari. -EDISI UKAS