SEMATAN: Perairan Sematan berpotensi dibangunkan sebagai destinasi sukan memancing (sport fishing) bagi menarik pemancing rekreasi serta pelancong dari dalam dan luar negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penambahan tukun tiruan boleh dipertimbangkan bagi menyediakan habitat perlindungan kepada pelbagai spesies ikan, sekali gus menyokong pembangunan aktiviti memancing di kawasan berkenaan.
"Bagi sport fishing, mungkin kita boleh menambah lagi tukun tiruan di bawah seliaan Sarawak Forestry Corporation (SFC) kerana ia boleh menjadi habitat kepada ikan-ikan.
"Pada masa ini, penambahan tukun tiruan telah dilaksanakan di Balingian, Mukah dan juga kawasan Batang Lupar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Rimbun International Sematan Run 2026 yang menarik penyertaan lebih 1,500 peserta di Pantai Abang Amin, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menekankan kepentingan mengenal pasti spesies ikan di perairan berkenaan bagi membantu merancang pembangunan aktiviti memancing secara lebih terarah.
“Jika kita dapat mengenal pasti spesies ikan yang terdapat di kawasan berkenaan, saya fikir usaha ini dapat dirancang dengan lebih baik,” jelasnya lagi.
Berkongsi pengalaman memancing di perairan Sematan pada Sabtu, beliau berkata, keadaan berjerebu tidak menghalangnya daripada memperoleh empat ekor ikan.
Menurutnya, pembangunan pelancongan memancing juga berpotensi menarik lebih ramai pengunjung ke Sematan, sekali gus membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan, khususnya pengusaha bot, penyedia penginapan dan pengusaha aktiviti rekreasi.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan, Pengarah Mahawangsa Sungai Bok Plantation Sdn Bhd (MSBPSB) Tan Sri Yee Ming Seng, Pengarah Urusan Rimbun Prima Sdn Bhd Bouteflika Ahmad, Pengurus SFC Abang Arabi Abang Aimran, Pengarah Urusan Roxy Beach Resort @ Sematan Lee Chin Teck dan Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail.-EDISI UKAS