FTES Ringankan Beban Kos Pengajian, Cetus Harapan Ibu Bapa
KAPIT: Kos pengajian tinggi yang sebelum ini menjadi kebimbangan keluarga berpendapatan terhad kini lebih mampu ditangani menerusi inisiatif Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), sekali gus memberi kelegaan kepada ibu bapa dalam merealisasikan impian anak-anak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Bagi Anita Christopher Ribut, ibu kepada tiga orang anak yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah, pembiayaan penuh yuran pengajian menerusi inisiatif Kerajaan Sarawak itu amat bermakna dalam mengurangkan kebimbangannya terhadap kemampuan keluarga menanggung kos pendidikan anaknya, Ann Floreina Anak Kasin, yang melanjutkan pengajian di Swinburne University of Technology Sarawak.
Katanya, bantuan berkenaan memberikan harapan dan kelegaan kepada keluarga, selain membolehkannya melihat anaknya meneruskan pengajian dengan lebih yakin demi mencapai kejayaan dan memperoleh pekerjaan yang dapat menjamin masa depan lebih baik.
Anita berharap anaknya memanfaatkan peluang yang diberikan dengan bersungguh-sungguh, memandangkan pendidikan tinggi merupakan langkah penting dalam membina kehidupan yang lebih baik serta membuka ruang untuk mencapai cita-cita.
Sementara itu, Gerahaman Asun, bapa kepada Marvence Gerahaman yang turut melanjutkan pengajian di institusi swasta berkenaan, berkata perancangan untuk membiayai pengajian tinggi anak sebelum pelaksanaan FTES merupakan cabaran besar bagi keluarga berpendapatan terhad.
Menurutnya, tanpa bantuan sedemikian, peluang anaknya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi mungkin sukar direalisasikan berikutan kekangan kewangan keluarga.
Beliau berkata, FTES amat bermakna khususnya kepada ibu bapa di luar bandar dan golongan kurang berkemampuan kerana inisiatif itu membantu membuka peluang pendidikan tinggi kepada anak-anak, sekali gus memberi ruang kepada mereka mengejar impian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.
Gerahaman berharap inisiatif itu dapat diteruskan bagi membolehkan lebih ramai pelajar menikmati manfaat yang sama, selain berharap anaknya belajar bersungguh-sungguh, memperoleh keputusan terbaik dan seterusnya mendapatkan pekerjaan yang baik selepas tamat pengajian.
Kedua-dua ibu bapa itu merakamkan setinggi-timggi penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas pelaksanaan FTES yang bukan sahaja membantu mengurangkan kebimbangan mengenai kos pengajian tinggi, malah menyemai harapan baharu kepada keluarga untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam pendidikan dan membina masa depan yang lebih cerah. -EDISI UKAS