Kem ALPHA Perkukuh Jati Diri Belia, Bentuk Ketahanan Menolak Dadah
BAU: Pembentukan jati diri, ketahanan mental dan keupayaan membuat keputusan secara bijak menjadi fokus Kem Anak Muda Pemacu Harapan Aspirasi (ALPHA) anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Samarahan bagi membina benteng belia daripada pengaruh penyalahgunaan dadah.
Penolong Pengarah Rawatan dan Pemulihan yang mewakili Pengarah AADK Negeri Sarawak, Ahmad Fikri Arif Muhamad Fuad, berkata golongan muda perlu memiliki prinsip yang kukuh serta kebijaksanaan memilih pergaulan agar tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial.
“Belia bukan sekadar pewaris masa depan, tetapi merupakan aset penting yang mampu membawa perubahan kepada keluarga dan masyarakat. Oleh itu, setiap anak muda perlu membina jati diri yang kukuh, berani menolak dadah dan memilih jalan kehidupan yang positif.
“Masa depan anda ditentukan oleh pilihan yang dibuat hari ini,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Kem ALPHA, di sini pada Ahad.
Menurutnya, peserta perlu memanfaatkan pengalaman sepanjang kem untuk mengenal pasti potensi diri, membina keyakinan dan merancang masa depan yang lebih terarah.
Program selama dua hari itu melibatkan pelbagai aktiviti luar bilik darjah, termasuk ‘Jungle Trekking’, ‘Leaf Challenge’, ‘Puzzle Challenge’, ‘Kayak Challenge’ dan
‘Target Challenge’, bagi mengasah kemahiran komunikasi, kerjasama berpasukan, penyelesaian masalah serta pembuatan keputusan.
Penyertaan belia dari Samarahan dan Asajaya turut membuka ruang kepada mereka untuk menjadi penggerak komuniti dalam menyebarkan kesedaran pencegahan dadah, mengamalkan gaya hidup sihat dan mempengaruhi rakan sebaya ke arah aktiviti positif.
Kerjasama Skuad Antidadah Samarahan, Skuad Antidadah Asajaya dan SEBERKAS Asajaya dalam menjayakan program itu mencerminkan penglibatan bersama agensi dan komuniti bagi memperkukuh usaha pencegahan dadah serta pembangunan belia di peringkat setempat.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang, Naib Presiden 3 Skuad Antidadah Kebangsaan merangkap Setiausaha Skuad Antidadah Negeri Sarawak, Fazari Osman, Pengerusi Skuad Antidadah Bahagian Samarahan, Junaidi Kaderi, Ketua Skuad Antidadah UNITAR, Elissia Valerie Lisen, Pengerusi Skuad Antidadah Daerah Asajaya, Hamizan Hamid dan Pengerusi SEBERKAS Cawangan Asajaya, Abas Salimin Rosly. -EDISI UKAS