Sarawak International Dragon Boat Regatta Terus Menjadi Tarikan Waterfront Kuching
KUCHING: Sarawak International Dragon Boat Regatta Ke-12 dan Sarawak Regatta 2026 bukan sahaja menjadi medan persaingan pasukan perahu naga dari dalam dan luar negara, malah turut merancakkan aktiviti perniagaan serta menarik kehadiran pengunjung ke Kuching Waterfront.
Tinjauan wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Kuching Waterfront pada Ahad mendapati suasana sekitar lokasi acara berlangsung meriah dengan kehadiran peserta dan pengunjung yang menyaksikan perlumbaan serta menikmati pelbagai juadah tempatan.
Pengurus Nasi Padang Makan Ketagih Kopitiam, Sofian Jafar berkata, sambutan terhadap jualan makanan amat menggalakkan sehingga pihaknya perlu memasak sehingga lima kali bagi memenuhi permintaan.
“Alhamdulillah, sambutannya agak menggalakkan. Nasi sampai masak lima kali dan sekali masak lima kilogram,” katanya.
Antara menu yang ditawarkan termasuk gulai tunjang, ayam berlado, udang petai dan tempoyak tempatan.
Beliau berharap program seumpama itu terus dianjurkan kerana memberi peluang kepada peniaga kecil mengembangkan perniagaan.
Sementara itu, pengunjung dari Singapura, Vanessa berkata, beliau mengetahui mengenai penganjuran perlumbaan tersebut menerusi internet ketika mencari aktiviti untuk dilakukan sepanjang berada di Kuching.
“Suasananya sangat meriah dan pengalaman ini sangat menarik untuk kami,” katanya.
Bagi peserta Pirates International dari Pulau Pinang, Helen Davis berkata, regata berkenaan merupakan antara acara yang dinanti-nantikan sehingga pasukannya kembali menyertainya setiap tahun.
“Saya sangat menyukai Kuching. Festival ini dianjurkan dengan begitu baik, meriah dan inklusif. Sebab itulah kami datang semula setiap tahun,” katanya.
Menurutnya, acara tersebut turut memberi peluang kepada peserta antarabangsa mengenali budaya dan muzik Sarawak, selain mengeratkan hubungan antara pasukan dari pelbagai negara.
Dalam pada itu, Pengurus pasukan Dragon Ark dari Pulau Pinang, Koh Soo Choon berkata, saingan Dragon Boat Regatta tahun ini lebih sengit dengan kehadiran pasukan kuat dari China, selain peningkatan prestasi pasukan dari Sarawak, Sabah dan Putrajaya.
“Persaingan tahun ini lebih kuat, namun kami berbangga dapat menewaskan pasukan dari China yang mempunyai bekas anggota pasukan kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan muncul juara itu menjadi suntikan semangat kepada pasukannya untuk terus meningkatkan tahap latihan dan persediaan bagi menghadapi saingan pada masa akan datang.
Penganjuran Sarawak International Dragon Boat Regatta Ke-12 dan Sarawak Regatta 2026 sempena Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2026 bukan sahaja menghidupkan suasana di Tebingan Kuching, malah menjadi platform memperkenalkan budaya dan keunikan Sarawak kepada peserta serta pengunjung antarabangsa, selain memberi manfaat kepada peniaga dan usahawan tempatan sepanjang berlangsungnya festival berkenaan. -EDISI UKAS