Peningkatan Hasil Perkukuh Agenda Pembangunan Sarawak
MIRI: Peningkatan hasil Kerajaan Sarawak kepada lebih RM13 bilion pada 2025 membolehkan negeri terus memperkukuh agenda pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan modal insan demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, peningkatan hasil itu turut dicerminkan menerusi Belanjawan Sarawak 2027 yang mengunjurkan hasil sebanyak RM15.091 bilion, dengan RM10.098 bilion diperuntukkan bagi pembangunan negeri.
“Peningkatan itu turut dicerminkan menerusi Belanjawan Sarawak 2027 yang mengunjurkan hasil sebanyak RM15.091 bilion, dengan RM10.098 bilion diperuntukkan bagi pembangunan negeri.
“Bukan sahaja Belanjawan 2027 ini yang terbesar dalam sejarah Sarawak, malah merupakan belanjawan yang kukuh dan berfokus kepada pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Tengah Hari bersempena Program Kamek Prihatin, Kitak Penting Zon Miri Tahun 2026 yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, di sini pada Sabtu.
Tambahnya, peruntukan pembangunan yang besar menunjukkan kerajaan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur, kemudahan dan modal insan yang diperlukan untuk memacu ekonomi demi manfaat generasi akan datang.
Datuk Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak atas penganjuran Program Kamek Prihatin, Kitak Penting yang disifatkannya penting dalam memperkukuh peranan pemimpin akar umbi.
Beliau berharap peserta program dapat menyampaikan maklumat yang tepat dan menyeluruh kepada masyarakat mengenai pelbagai program bantuan serta pencapaian Kerajaan Sarawak supaya manfaat yang disediakan dapat diketahui dan dimanfaatkan oleh golongan sasar.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. -EDISI UKAS