Dewan Serbaguna Lengkapi Kemudahan Asas Kampung Long Daloh Asal
MIRI: Pembinaan Dewan Serbaguna Kampung Long Daloh Asal bernilai RM450,000 melengkapkan kemudahan asas yang disediakan untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk, khususnya komuniti Penan di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, kemudahan itu memberi manfaat kepada kira-kira 250 penduduk daripada 57 pintu rumah dengan menyediakan ruang untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Menurutnya, dewan tersebut memudahkan penduduk mengadakan pelbagai aktiviti dan acara kemasyarakatan termasuk mesyuarat, program kampung, sukan, majlis keramaian, aktiviti belia, wanita serta keagamaan.
“Dewan ini adalah milik kampung. Jadi saya berharap penduduk dapat menjaga kemudahan ini dengan baik, memastikan ia sentiasa bersih, teratur dan digunakan untuk perkara yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Kampung Long Daloh Asal pada Sabtu.
Beliau turut mencadangkan agar satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi menyelaras penggunaan dewan serta memastikan aspek kebersihan dan penyelenggaraannya diberi perhatian.
Dalam pada itu, Dato Dennis memberitahu, pembangunan luar bandar perlu dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keperluan rakyat dan keutamaan kawasan.
Katanya, penyediaan kemudahan seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, telekomunikasi dan kemudahan awam lain memerlukan perancangan rapi, peruntukan mencukupi serta kerjasama erat antara penduduk, agensi pelaksana, pemimpin masyarakat dan kerajaan. -EDISI UKAS