Festival Long Tengoa Perkukuh Perpaduan, Promosi Budaya Tagal Okolod
LAWAS: Penganjuran Ilau Assimpung Long Tengoa River Rafting Challenge Festival 2026 terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat, memelihara warisan budaya serta mempromosikan potensi pelancongan di Lawas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keharmonian dan kerjasama masyarakat pelbagai kaum merupakan asas penting bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berterusan.
Menurut beliau, semangat perpaduan membolehkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang hidup dalam suasana aman dan saling menghormati, sekali gus menyokong usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kalau negeri kita tidak aman dan damai, dengan rakyat yang berbagai kaum, agama dan latar belakang yang berbeza, kita tidak akan dapat hidup dalam keadaan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Ilau Asisimpung Long Tengoa River Rafting Challenge Festival 2026 di Rumah Kebudayaan Kampung Long Tengoa, di sini pada Sabtu.
Tambahnya, festival seumpama itu turut berperanan mempromosikan kawasan Long Tengoa dan Lawas sebagai destinasi pelancongan, selain mengetengahkan keunikan budaya serta tradisi masyarakat tempatan.
Tegasnya, warisan kebudayaan, termasuk persembahan tarian tradisional, perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda sebagai lambang identiti masyarakat.
Sehubungan itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berharap festival berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan dan dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sarawak bagi memperluas promosi pelancongan negeri.
Hadir sama, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) Datu Abdullah Julaihi, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESTY) Datu Abang Ahmad Abang Morni, Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia Datu Dr Ismail Parlan, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Datu Zainal Abidin Abdullah, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi serta Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan. -EDISI UKAS