Suntikan RM15,000 Perkasa Program Pendidikan & Aktiviti Sekolah SK Opar
BAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Opar menerima suntikan peruntukan RM15,000 bagi menyokong pelaksanaan program pendidikan dan aktiviti sekolah, termasuk RM10,000 menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi 2027.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, sokongan kewangan itu dapat membantu pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada murid.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam PIBG SK Opar 2026 di Dewan Kampung Rumih, pada Sabtu.
Daripada jumlah berkenaan, RM5,000 disalurkan kepada PIBG SK Opar, manakala RM10,000 lagi diperuntukkan menerusi MRP bagi tahun hadapan.
Billy menegaskan bahawa usaha membangunkan pendidikan memerlukan kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat bagi memastikan murid mendapat sokongan menyeluruh dalam pembelajaran serta pembentukan sahsiah.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara pihak sekolah, PIBG, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pemimpin masyarakat dan ibu bapa dalam memperkukuh mutu pendidikan luar bandar serta memastikan murid mendapat peluang pendidikan berkualiti.
Hadir sama, Guru Besar SK Opar, Valentine Roland Thua, Yang Dipertua PIBG SK Opar, Sinsila Pojin dan wakil PPD Bau, Danny Manium Enggang. -EDISI UKAS