Mobile Service 2U Dekatkan Perkhidmatan Kerajaan Kepada Penduduk Sungai Labas
BINTANGOR: Program Mobile Service 2U di Perumahan Cina Sungai Labas, di sini pada Sabtu memberi peluang kepada penduduk mendapatkan maklumat serta akses kepada pelbagai perkhidmatan dan kemudahan kerajaan dengan lebih mudah.
Program anjuran Parti SUPP Cawangan Bintangor itu turut menjadi ruang bagi penduduk mengemukakan pertanyaan serta menyampaikan isu dan keperluan mereka secara terus kepada pihak berkaitan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong merangkap Pengerusi Parti SUPP Cawangan Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing hadir menyantuni penduduk dan mendengar pandangan serta perkara yang dibangkitkan masyarakat setempat.
Pendekatan turun padang berkenaan membolehkan pemimpin memahami keadaan dan keperluan penduduk dengan lebih dekat, di samping memastikan isu yang dibangkitkan dapat disampaikan kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
Program seumpama itu juga dilihat dapat memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat melalui interaksi secara bersemuka serta penyampaian maklumat yang lebih mudah dan terus.
Usaha mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat diharap dapat terus dilaksanakan bagi memastikan keperluan masyarakat, khususnya di kawasan Meradong, mendapat perhatian sewajarnya.
Turut hadir, Bendahari Parti SUPP Cawangan Bintangor, Lee Ngin Soon, Ketua Pergerakan Pemuda Parti SUPP Cawangan Bintangor, Ley Chee Hua serta Kapitan Wong Mee King dan Kapitan Leong King Yung.-EDISI UKAS