Warga Emas Aset Sosial, Perlu Terus Dihargai & Diperkasa
MIRI: Golongan warga emas bukan beban kepada pembangunan, sebaliknya merupakan aset sosial yang memiliki pengalaman, pengetahuan dan kebijaksanaan untuk terus dimanfaatkan oleh masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, usaha memperkasa golongan berkenaan perlu dipertingkatkan bagi memastikan mereka dapat menikmati kehidupan yang sihat, aktif, selamat dan bermaruah
"Sarawak dijangka mencapai status wilayah menua menjelang 2028 apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas diunjurkan merangkumi kira-kira 15 peratus daripada jumlah penduduk negeri.
"Sehubungan itu, persediaan awal perlu diperkukuh bagi menangani keperluan berkaitan kesihatan, keselamatan kewangan, penjagaan keluarga, perumahan dan akses kepada perkhidmatan sosial," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sambutan Hari Warga Emas Sarawak 2026 bertemakan 'Warga Emas Disayangi, Negara Harmoni', di sini pada Sabtu.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh sokongan penjagaan berasaskan keluarga dan komuniti, selain memperkasakan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) sebagai platform untuk menggalakkan aktiviti sosial, riadah, pembelajaran sepanjang hayat dan kesukarelawanan.
Ujarnya, Inisiatif seperti Kenyalang Gold Card (KGC) dan Senior Citizen Health Benefit (SCHB) juga terus memainkan peranan dalam menyokong kebajikan warga emas serta memperluas akses mereka kepada kemudahan kesihatan.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan sijil pelantikan ahli Lembaga Pelawat Rumah Seri Kenangan Kuching serta sijil pelantikan 26 klinik panel SCHB bagi Bahagian Miri.
Selain itu, bantuan kewangan turut disalurkan kepada sembilan PAWE baharu, iaitu PAWE Muara Tuang, Muara Sadong, Sri Simunjan, Serian, Tebedu, Bukit Saban, Kabong, Tanjong Manis dan Lawas.
Pada majlis sama, PAWE Miri menerima Anugerah PAWE Paling Aktif, manakala PAWE Debak menerima Anugerah Pengurusan Terbaik.
Pengiktirafan Tokoh Inspirasi Warga Emas Lelaki dan Wanita pula diberikan kepada Ronald Thomas Ronny Law dan Lily James sebagai penghargaan terhadap sumbangan serta inspirasi mereka kepada masyarakat.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Sarawak merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew. -EDISI UKAS