Jubli Mutiara Ke-36 Rumah Panjang Abok Erat Perpaduan Komuniti, Pelihara Warisan Budaya
BELURU: Sambutan Jubli Mutiara Ke-36 Rumah Panjang Abok, Kampung Mulong, Ulu Teru menjadi platform mengeratkan perpaduan komuniti, memelihara warisan budaya serta memperkukuh kerjasama antara penduduk dengan agensi kerajaan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil berkata, kerjasama erat antara pemimpin komuniti dengan golongan anak muda amat penting bagi memastikan keperluan dan aspirasi penduduk dapat dikenal pasti serta dilaksanakan demi manfaat bersama.
"Tahniah kepada anak-anak muda Rumah Abok atas kejayaan menganjurkan sambutan tersebut yang mencerminkan semangat kerjasama dan penglibatan generasi muda dalam pembangunan komuniti," katanya ketika berucap dalam sambutan tersebut pada Sabtu.
Sambutan yang menghimpunkan kira-kira 1,300 penduduk itu bukan sahaja menjadi wadah mengeratkan perpaduan komuniti, malah turut memelihara warisan budaya serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk.
Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lubok Mulong, The Mulong’s Youngsters dan Pejabat Daerah Beluru itu turut menyediakan kaunter perkhidmatan bagi memudahkan penduduk mendapatkan maklumat serta akses kepada perkhidmatan agensi kerajaan.
Turut hadir, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, Residen Bahagian Miri Galong Luang, Pegawai Daerah Beluru Charles Aloysius Lisu, Pegawai Daerah Telang Usan Ezra Uda, Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang serta Tuai Rumah Abok Jabu. -EDISI UKAS