BINTANGOR: Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA@KKDW) Tahun 2026 menjadi platform untuk memperkasa masyarakat desa menerusi pelbagai inisiatif melibatkan aspek kemahiran, ekonomi, kesejahteraan dan kepimpinan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu memberi tumpuan kepada pembangunan golongan dewasa dan belia di kawasan desa.
Menurut beliau, penglibatan aktif masyarakat penting bagi membentuk komuniti yang lebih berdaya tahan, berdikari serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
“Program seperti GEMA@KKDW bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat dan perkhidmatan daripada agensi kerajaan, malah membuka ruang untuk penduduk menyampaikan pandangan, keperluan dan cadangan berkaitan pembangunan setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program GEMA@KKDW Tahun 2026 di Kampung Darul Falah, Sungai Gemuan, di sini pada Sabtu.
Pada masa sama, program tersebut turut memberi penekanan terhadap pengukuhan hubungan dalam komuniti menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk rewang dan sukaneka.
Inisiatif berkenaan turut disokong dengan penyampaian sumbangan Bakul Kasih kepada golongan yang layak dan memerlukan sebagai usaha membantu meringankan beban mereka.
Selain itu, pameran daripada pelbagai agensi yang terlibat menyediakan ruang kepada penduduk mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan dan bantuan yang tersedia.
Datuk Ding turut menyeru masyarakat agar terus mengamalkan semangat gotong-royong dan bekerjasama dalam memastikan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara berterusan.
Beliau berharap Program GEMA@KKDW dapat memperkukuh kerjasama antara KEMAS, agensi kerajaan dan masyarakat desa, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Meradong.
Turut hadir, Pegawai KEMAS Bahagian Sarikei, Abu Sombang, Penolong Pegawai Daerah Meradong merangkap wakil Pegawai Daerah Meradong, Sonia Hii serta Ketua Masyarakat Kampung Darul Falah, Sungai Gemuan, Rabaie Mat.-EDISI UKAS