Masyarakat Diseru Beri Perhatian Terhadap Hala Tuju Pembangunan Sarawak
TATAU: Masyarakat diseru agar terus memberi perhatian terhadap hala tuju pembangunan Sarawak serta memahami pelbagai inisiatif kerajaan negeri dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, Belanjawan Sarawak 2027 dengan unjuran hasil RM15.091 bilion disifatkan sebagai unjuran hasil tertinggi dalam sejarah negeri.
Jelasnya, ia mencerminkan perancangan kerajaan untuk meneruskan pembangunan dan menyediakan pelbagai manfaat kepada rakyat.
"Saya mengajak masyarakat agar terus memberikan perhatian terhadap hala tuju pembangunan negeri dan peranan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam meneruskan agenda pembangunan Sarawak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13 akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Joseph Glory, di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta menekankan kepentingan kerjasama antara pemimpin di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan serta penyaluran bantuan kepada rakyat dapat diselaraskan dengan berkesan.
Beliau turut menyentuh kemudahan pembiayaan menerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bagi penduduk yang berhasrat membina rumah panjang baharu, dengan pinjaman sebanyak RM50,000 bagi setiap pintu. -EDISI UKAS