Sarawak Perlukan Generasi Berilmu, Berkemahiran Dan Berdaya Saing
LIMBANG: Sarawak memerlukan generasi muda yang berilmu, berkemahiran, berintegriti dan berdaya saing bagi memastikan pembangunan negeri terus mampan dalam menghadapi perubahan dunia yang semakin pesat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pembangunan modal insan merupakan antara keutamaan Kerajaan Sarawak kerana kualiti rakyat menjadi asas penting kepada kemajuan negeri.
“Sarawak memerlukan generasi yang berilmu, berkemahiran, berintegriti, berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 5 SMK Kubong Tahun 2026, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi baharu membuka peluang luas kepada golongan muda untuk meneroka pelbagai bidang kerjaya serta menceburi bidang baharu yang berpotensi tinggi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kemajuan teknologi perlu disertai nilai kemanusiaan, etika dan rasa tanggungjawab bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir menggunakan teknologi, malah bijaksana dalam membuat keputusan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan para graduan agar meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi serta menguasai kemahiran relevan menerusi universiti, institusi latihan kemahiran dan pendidikan teknikal serta vokasional (TVET), mengikut minat dan cita-cita masing-masing.
Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman berkata, kejayaan bermakna bukan sahaja diukur melalui pencapaian peribadi, malah turut dinilai berdasarkan sumbangan kepada masyarakat.
Justeru katanya, golongan muda diseru agar terus memelihara nilai kesopanan, semangat perpaduan dan identiti Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian budaya. -EDISI UKAS