MIRI: Penggiat media sosial dan pempengaruh di Miri digalakkan menghasilkan kandungan positif yang mengetengahkan keunikan, potensi pelancongan serta produk tempatan bagi memperkenalkan kawasan masing-masing kepada khalayak lebih luas.
Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, golongan pempengaruh memainkan peranan penting dalam mempromosikan tarikan pelancongan, produk tempatan serta keistimewaan Sarawak menerusi platform digital.
“Pempengaruh di Miri juga berpotensi bergabung dan membentuk jaringan kerjasama yang lebih tersusun sekali gus berkembang menjadi platform penting dalam menyebarkan maklumat, berkongsi idea serta mengetengahkan potensi pembangunan setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Randau Bersama Rakan UKAS – Influencer Miri yang berlangsung di sebuah hotel, di sini pada Jumaat.
Majlis yang dihadiri kira-kira 20 pempengaruh termasuk rakan strategik UKAS itu berlangsung dalam suasana santai dan mesra, sekali gus membuka ruang kepada peserta berkongsi pandangan, bertukar idea serta memperkukuh jaringan kerjasama.
Inisiatif itu diharap dapat memperluas penyampaian maklumat kepada masyarakat di samping meningkatkan promosi keunikan, produk dan potensi pelancongan tempatan menerusi kandungan digital yang kreatif dan bermanfaat. -EDISI UKAS