10 Inovator Muda Sarawak Raih Juara Keseluruhan FIRST LEGO League Malaysia 2026
MIRI: Seramai 10 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua (CF) Miri mengharumkan nama Sarawak apabila muncul sebagai Juara Keseluruhan pada pertandingan FIRST LEGO League (FLL) Malaysia 2026 kali ke-17 yang berlangsung di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), Kuala Lumpur, pada Ahad.
Kejayaan menerusi Team REFINITY itu melayakkan pasukan berkenaan mewakili Malaysia ke FIRST LEGO League World Festival yang berlangsung sebagai sebahagian daripada FIRST Championship 2027 di Houston, Texas, Amerika Syarikat, dari 28 April hingga 1 Mei 2027.
Pasukan itu dianggotai Elise Yong Jia Yi, Philip Lee Ngee How, Sasha Liz Liew, Fung Marcus, Edberg Chieng Yinn Feng, Jevryl Ecolle Yong, Ngu Wen Heng, Dylan Hii Yong Hang, Hera Lee Xi Le dan Renee Sim Yi Ying yang dibimbing oleh jurulatih Darren Ng Kah Loong dari Tesslass Miri dengan sokongan guru pengiring SMK Chung Hua (CF) Miri, Adelyne Irene Gurineng dan Kho Tad Song.
Kejayaan Team REFINITY membuktikan potensi pelajar Sarawak untuk bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selain mencerminkan kepentingan pendidikan STEM dalam melahirkan generasi muda yang kreatif, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Ketika Sarawak terus memperkukuh tumpuan terhadap inovasi, transformasi digital dan pembangunan bakat menerusi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), kejayaan seumpama itu mengukuhkan kepentingan pendedahan awal kepada pendidikan STEM serta penyediaan peluang bermakna kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan di luar bilik darjah.
Dengan kejayaan tersebut, Team REFINITY bakal membawa cabaran Malaysia ke pentas dunia di Houston, sekali gus menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar Sarawak untuk meneroka bidang robotik, teknologi dan inovasi.
Pertandingan anjuran Sasbadi Holdings Berhad itu menghimpunkan 920 peserta muda, termasuk sebuah pasukan dari Hong Kong, bagi mengetengahkan kemahiran dalam bidang robotik, kejuruteraan, inovasi dan penyelesaian masalah secara kreatif.
Bertemakan ‘UNEARTHED’, pertandingan tahun ini mencabar peserta meneroka dunia arkeologi melalui pendekatan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), termasuk menerusi reka bentuk robotik, pengaturcaraan dan penyelidikan saintifik. -EDISI UKAS