RM38 Juta Diluluskan Naik Taraf Taman Rimba Bukit Lima
SIBU: Taman Rimba Bukit Lima bakal menyaksikan transformasi fizikal secara menyeluruh berikutan kelulusan peruntukan sebanyak RM38 juta daripada Kerajaan Sarawak bagi kerja-kerja naik taraf yang dijadualkan bermula awal tahun depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata peruntukan yang diluluskan pada Oktober lalu itu akan memberi nafas baharu kepada keseluruhan kawasan rekreasi berkenaan.
"Sebagaimana yang kita tahu semasa SKS (Sarawakku Sayang) yang lepas, Premier Sarawak telah melawat tempat tersebut.
“Di sana terdapat satu trek yang sudah siap, tetapi trek tersebut akan kita sambungkan ke Zon Utara dan Selatan sehingga ada juga trek sekunder yang akan melibatkan jarak lebih daripada 8 kilometer,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pelepasan (flag-off) program Kemuyang Nature Challenge di Bukit Kemuyang, pada Ahad.
Mengulas mengenai keadaan semasa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu mengakui bahawa sebahagian kemudahan di taman rekreasi popular itu masih berada dalam keadaan daif sementara menunggu pelaksanaan kerja-kerja naik taraf tersebut.
"Jadi, saya harap pengunjung di kawasan Taman Rimba Bukit Lima bersabar dahulu kerana kita baru sahaja menerima peruntukan daripada Kerajaan Sarawak sebanyak RM38 juta untuk menaik taraf keseluruhan kawasan tersebut dan kita akan cuba melaksanakannya bermula awal tahun depan dari segi pembangunan fizikal dan pembinaannya," ujar beliau.
Walau bagaimanapun, beliau yakin pelaburan berskala besar itu bukan sahaja dapat menyelesaikan isu infrastruktur sedia ada, malah berpotensi membuka ruang untuk penganjuran acara sukan dan larian lasak bertaraf antarabangsa di Sibu pada masa hadapan.
Sementara itu, program Kemuyang Nature Challenge di Bukit Kemuyang anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) dengan kerjasama Kelab Larian Jalan dan Bukit Sibu telah berjaya menarik 350 peserta dari dalam dan luar Sibu.
Acara larian merentasi bukit bukau dan hutan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu larian sejauh 5KM dan 8KM yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM19,200.
Turut hadir wakil Residen Bahagian Sibu Macgyver Boi, Pegawai MySED Bahagian Sibu Christine Pet Leh Hung, Ketua Zon Tengah Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Sibu Mikar Changgan dan Pengerusi Kelab Larian Jalan dan Bukit Sibu Willie Ling Wei Lee.-EDISI UKAS