Gelanggang Futsal Baharu Balingan Perkukuh Aktiviti Sukan Dan Komuniti
BETONG: Gelanggang futsal berbumbung baharu di Kampung Balingan, Spaoh, dijangka menjadi kemudahan sukan dan pusat aktiviti komuniti yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata kemudahan tersebut bukan sahaja sesuai untuk futsal, malah boleh digunakan bagi pelbagai aktiviti sukan dan kemasyarakatan.
“Gelanggang ini bukan sahaja untuk futsal, tetapi boleh digunakan untuk sepak takraw, bola baling dan bola jaring. Ia juga boleh dimanfaatkan untuk aktiviti kemasyarakatan seperti majlis perkahwinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Gelanggang Futsal Baharu dan Majlis Penangguhan Sukan Sejerut Kanan 2026 Kampung Balingan, di sini pada Ahad.
Datuk Dr Mohammad Razi turut mengingatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk supaya memastikan kemudahan tersebut dijaga dengan baik, termasuk memberi perhatian terhadap aspek keselamatan dan pendawaian elektrik.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata penyediaan gelanggang berkenaan merupakan antara usaha menyediakan kemudahan riadah kepada masyarakat, khususnya golongan muda.
“Kemudahan seperti ini penting untuk menyediakan ruang riadah kepada golongan muda dan masyarakat setempat, di samping menggalakkan aktiviti sukan serta mengeratkan hubungan komuniti,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Dr Richard turut memaklumkan peruntukan RM100,000 bagi kerja menaik taraf Surau Darul Taqwa, Kampung Hilir Balingan, manakala usaha meningkatkan kemudahan asas termasuk bekalan air di Bahagian Betong terus diberi perhatian.
Pada majlis tersebut, Datuk Dr Mohammad Razi dan Dato Dr Richard turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang Sukan Sejerut Kanan 2026 yang dianjurkan secara bergilir antara Kampung Balingan, Kampung Buda, Kampung Sebemban dan Kampung Tanjung Assam.-EDISI UKAS