Anjung Usahawan, Taman Perindustrian Sematan Pacu Ekonomi Luar Bandar
SEMATAN: Pembangunan Anjung Usahawan Sematan dan Taman Perindustrian Sematan dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi luar bandar dengan membuka lebih banyak peluang perniagaan, pelaburan dan pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembangunan kedua-dua kemudahan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan kemajuan sektor perdagangan, keusahawanan dan perindustrian turut dinikmati masyarakat luar bandar, bukan hanya tertumpu di kawasan bandar utama.
Menurut beliau, Anjung Usahawan Sematan bukan sekadar menyediakan ruang perniagaan makanan dan minuman, malah berpotensi menjadi pusat aktiviti keusahawanan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, promosi produk serta kemudahan sokongan kepada pengusaha tempatan.
Katanya, pembangunan kemudahan itu bersama Taman Perindustrian Sematan akan mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih bersepadu, sekali gus membuka ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Anjung Usahawan Sematan dan Taman Perindustrian Sematan di sini pada Ahad.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, pembangunan sektor perindustrian negeri perlu dilaksanakan secara inklusif dengan mengambil kira potensi serta keperluan ekonomi setiap bahagian dan daerah.
Jelas beliau, kewujudan taman perindustrian di peringkat daerah turut membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk menyertai rantaian bekalan industri, termasuk menyediakan produk dan perkhidmatan kepada pelabur domestik serta antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan usahawan tempatan memanfaatkan pelbagai kemudahan pembiayaan, bantuan pembangunan perniagaan, program keusahawanan graduan serta inisiatif pendigitalan yang disediakan Kerajaan Sarawak.
Menurutnya, penguasaan teknologi digital, peningkatan kualiti produk dan pembungkusan, pemprosesan makanan serta strategi pemasaran yang berkesan amat penting bagi membolehkan produk tempatan menembusi pasaran lebih luas, termasuk di peringkat antarabangsa.
Pada majlis sama, turut berlangsung penyerahan bantuan keusahawanan menerusi beberapa skim pembiayaan dan insentif Kerajaan Sarawak bagi memperkukuh keupayaan serta daya saing usahawan tempatan.
Antaranya termasuk Dana Pembiayaan Skim Kredit Mikro Sarawak berjumlah RM1.439 juta yang melibatkan 33 penerima, selain bantuan menerusi Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana bernilai RM100,000 serta inisiatif Go Digital Sarawak berjumlah RM10,000.
Penyaluran bantuan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak memperluas akses pembiayaan, menggalakkan pengembangan perniagaan dan mempercepatkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan usahawan.
Sementara itu, mengulas potensi pembangunan Sematan dan Lundu, Awang Tengah berkata, kedua-dua kawasan berkenaan mempunyai kelebihan strategik dari segi keindahan alam semula jadi, kedudukan berhampiran sempadan antarabangsa serta jaringan perhubungan jalan raya yang semakin baik.
Katanya, kelebihan tersebut perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh sektor pelancongan, menarik penganjuran acara antarabangsa dan merancakkan aktiviti ekonomi yang mampu memberikan manfaat langsung kepada penduduk setempat.
Beliau turut melihat penganjuran acara sukan dan pelancongan antarabangsa di Sematan sebagai antara usaha yang berpotensi meningkatkan kehadiran pengunjung, sekali gus merangsang pertumbuhan sektor penginapan, makanan, pengangkutan dan perkhidmatan tempatan.
Sehubungan itu, beliau berharap komuniti perniagaan dapat memanfaatkan sepenuhnya Anjung Usahawan Sematan dan Taman Perindustrian Sematan agar pelaburan pembangunan yang dilaksanakan mampu menjana peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan serta memperkukuh ekonomi daerah secara mampan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, ADUN Jepak, Islandar Turkee, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dato Sri Naroden Majais, Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Datu Lester Matthew, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Abang Draup dan Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail.-EDISI UKAS