Pembangunan Kampung Assyakirin Fasa 3 Terus Diberi Perhatian
BINTULU: Pembangunan Kampung Assyakirin Fasa 3 akan terus diberi perhatian menerusi pelaksanaan projek berdasarkan keperluan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, beberapa projek telah dilaksanakan melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) termasuk menaik taraf balai raya dan pusat komuniti serta pembinaan dewan serbaguna.
“Pada 2022, sebanyak RM50,000 diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan balai raya kampung itu, manakala RM90,000 disediakan pada 2023 untuk menaik taraf pusat komuniti.
“Dalam tahun yang sama, sebanyak RM605,000 diperuntukkan bagi pembinaan dewan serbaguna baharu, sementara projek pembinaan pintu masuk baharu kampung itu diteruskan pada 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Santai Petang Bersama YB Johnny Pang di Kampung Assyakirin Fasa 3, di sini pada Ahad.
Menurutnya, keutamaan pembangunan bukan sekadar jumlah peruntukan yang disalurkan, sebaliknya sejauh mana projek dilaksanakan dapat memberikan manfaat kepada penduduk.
Beliau berkata, pertambahan penduduk turut membawa perubahan kepada keperluan komuniti, termasuk aspek jalan raya, sistem saliran dan kemudahan awam lain yang perlu diteliti dari semasa ke semasa.
Justeru, kerjasama dengan ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta agensi berkaitan akan diteruskan bagi mengenal pasti keperluan penduduk dan membuat susulan terhadap isu yang dibangkitkan.
Dalam pada itu, Johnny menegaskan khidmat kepada rakyat perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak hanya tertumpu pada tempoh tertentu.
Katanya, setiap aduan dan masalah penduduk perlu diteliti dengan mengambil kira keperluan, peruntukan, penilaian teknikal serta kerjasama pelbagai agensi bagi mencari penyelesaian yang sesuai.- EDISI UKAS