Sarawak Traffic Games Sri Aman Ditangguhkan Akibat IPU Tidak Sihat
SRI AMAN: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat mencecah 152 di Sri Aman setakat jam 8 pagi ini menyebabkan penganjuran Sarawak Traffic Games (STG) Bahagian Sri Aman 2026 yang dijadualkan berlangsung hari ini ditangguhkan bagi melindungi kesihatan dan keselamatan murid serta peserta.
Jawatankuasa Penganjur dalam kenyataannya hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Pejabat Residen Bahagian Sri Aman bersama Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman.
Penangguhan itu selaras dengan garis panduan pengurusan jerebu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menetapkan semua aktiviti luar bilik darjah melibatkan murid dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100.
Menurut jawatankuasa itu, STG yang melibatkan aktiviti fizikal di luar bilik darjah memerlukan langkah pencegahan bagi mengelakkan peserta terdedah kepada keadaan udara yang tidak sihat.
Penganjuran semula program itu akan ditentukan kemudian dengan mengambil kira perkembangan kualiti udara serta kesesuaian untuk menjalankan aktiviti luar.
Sehubungan itu, pihak penganjur memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, guru, ibu bapa, peserta serta semua agensi terlibat atas kerjasama dan pemahaman mereka berhubung penangguhan berkenaan.-EDISI UKAS